KETUA Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi. FOTO Effendy Rashid
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


SELEPAS status Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku juara bertahan terpalit dengan kekalahan mengejutkan 1-2 kepada MIFA pada aksi pertama saingan Piala Malaysia, Ahad lalu, skuad bimbingan Raul Longhi akan berdepan satu lagi ujian getir malam esok.

Skuad Harimau Selatan akan melayani kunjungan naib juara Piala Malaysia, Kedah pada aksi Kumpulan C di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dalam pertembungan dianggap ulangan aksi final pada musim lalu.

Ia juga dianggap perlawanan ‘epik’, ketika Kedah bukan sahaja mahu menebus kekecawaan gagal mempertahankan piala berprestij yang dimenangi dua musim lalu, malah skuad Helang Merah pasti mahu menebus kegagalan mengekalkan Piala Sumbangsih selepas tumpas kepada JDT.

Apa pun, Longhi enggan memikirkan sama ada ia perlawanan ulangan Piala Malaysia atau Piala Sumbangsih sebaliknya beliau mahu memberi sepenuh tumpuan dalam aksi wajib menang bagi mencari tiga mata pertama.

"Saya sedar ramai penyokong kecewa selepas kami tewas kepada MIFA, seperti yang katakan ia bukan malam JDT, namun kekalahan itu tidak bermakna moral pemain lemah. Pemain tampak begitu bersemangat sepanjang latihan untuk mencari kemenangan.

"Dua aksi liga menentang Kedah pada musim ini, kita menang di laman sendiri dan tempat lawan\, tetapi itu saingan berbeza berbanding Piala Malaysia yang perlawanan begitu singkat dan jika tersilap langkah kita akan kecundang.

"Saya mengingatkan setiap pemain JDT supaya sentiasa bersikap tenang dan bijak mempratikkan taktikal yang dirancang dan tempoh latihan selama empat hari sebelum aksi menentang Kedah cukup memuaskan," katanya.

Ditanya mengenai kekuatan skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff, pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan kombinasi barisan pemain muda dan senior Kedah begitu seimbang dan sering beraksi dengan corak permainan bola hantaran pendek.

Apa pun beliau tetap berwaspada dengan perancangan taktikal Kedah yang berkemungkinan akan menurunkan Liridon Krasniqi selepas pemain import itu tidak diturunkan ketika menentang Kelantan, Ahad lalu

"Difahamkan Liridon (Krasniqi) mengalami kecederaan dan mungkin tidak diturunkan. Bagi saya itu mungkin perancangan taktikal mereka dan kita kenalah bersedia memantapkan posisi tengah. Kedah akan turun dengan misi membalas dendam selain kelibat bekas pemain JDT, Paolo Rangel yang akan diturunkan,” katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:18 PM