CITY ketika memenangi EPL musim lalu. -Foto Agensi
Agensi

LONDON: Belum ada pasukan mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak Manchester United melakukannya pada tahun 2009 - namun adakah musim ini akan ada perubahan?

Itu adalah sasaran pengurus Manchester City, Pep Guardiola yang pernah membawa Barcelona menang tiga kejuaraan liga berturut-turut di Sepanyol (2008-11) dan Jerman (Bayern Munich, 2013-16).

Tahun lalu, beliau menerajui City untuk bergelar juara dengan kelebihan 19 mata.

Tetapi, pasukan manakah yang mampu memberi cabaran kepada City musim ini?

Adakah Liverpool yang berbelanja besar mampu menjadi pencabar? Atau Manchester United berupaya merapatkan jurang? Bolehkah Tottenham Hotspur mengekalkan aksi konsisten sepanjang musim? Dan adakah Chelsea serta Arsenal tampil berbeza selepas pembelian sepanjang musim panas?

BBC TV mengajukan soalan-soalan ini kepada 24 pengulas bola sepak dan masing-masing diminta memilih empat pasukan teratas musim ini.

Hanya enam pasukan diramalkan untuk berada dalam kelompok empat teratas dan hanya Manchester City serta Liverpool menjadi pilihan semua 24 pengulas berkenaan.

Untuk pilihan kejuaraan, Manchester City adalah pilihan utama dengan 21 undian. Tiga lagi untuk Liverpool.

Berikut adalah ulasan terpilih untuk keenam-enam pasukan berkenaan:


ALAN SHEARER

MAN CITY 

Alan Shearer: Sudah terlalu lama tiada pasukan mampu mempertahan kejuaraan tetapi saya percaya City akan memenangi Liga Perdana Inggeris sekali lagi kerana Pep - beliau pasti tidak mahu standard mereka merosot. Beliau akan bermain dengan cara yang sama dan mereka sukar disekat, walaupun saya merasakan Liverpool dan United mampu merapatkan jurang kali ini.


IAN WRIGHT

LIVERPOOL

Ian Wright: Saya mahu persaingan untuk kejuaraan lebih sengit musim ini dan saya rasa ia akan berlaku.

Jika Liverpool bermula lebih garang, kita tidak pasti bagaimana Manchester City akan bertindak balas dengan tekanan daripada pasukan yang mengekori mereka dengan rapat hingga ke akhir musim.

Anda juga perlu ingat Liverpool adalah badi City. Sebab itu saya pilih skuad kendalian Jurgen Klopp untuk merampas kejuaraan daripada mereka.

Apabila Liverpool beraksi baik dalam liga, liga akan menjadi lebih menarik. Dan, apabila mereka mempunyai pasukan yang bagus, dengan sokongan di Anfield mereka sukar disekat - seperti yang kita lihat ketika menentang City dalam Liga Juara-Juara musim lalu.


RUUD GULLIT

MANCHESTER UNITED

Ruud Gullit: United sudah mendapatkan pemain-pemain untuk mencabar City musim lalu, tetapi mereka tidak mampu melakukannya. Jadi adakah mereka mampu menebusnya musim ini? Adakah pemain-pemain ini mampu memberi persembahan diharapkan? Anda perlu bertanya mengapa terlalu ramai pemain mereka beraksi di bawah tahap sebenar.


CHRIS SUTTON

TOTTENHAM

Chris Sutton: Tottenham belum menandatangani sesiapa tetapi saya tetap merasakan mereka mempunyai skuad yang lengkap. Mereka juga baik daripada segi pertahanan dan mempunyai pilihan kreativiti yang luas serta penyerang terbaik liga - Harry Kane.


PAT NEVIN

CHELSEA

Pat Nevin: Keadaan sedikit rumit dengan Chelsea. Saya rasa mereka berada dalam situasi sama seperti sebelum permulaan musim lalu, di mana mereka perlu membeli pemain. Saya syak mereka akan cuba membawa masuk seorang lagi bek tengah tetapi, jika David Luiz kembali pada prestasi sebenarnya selepas kecederaan musim lalu, ia tidak akan menjadi masalah.


MARTIN KEOWN

ARSENAL

Martin Keown: Persaingan sengit bagi Arsenal untuk merebut tempat dalam kelompok empat teratas.

Arsenal dan Chelsea akan bersaing sengit dengan United dan masih berpeluang merebut tiket ke Liga Juara-Juara. Emery mempunyai tempoh lebih panjang bersama pasukan berbanding pasukan lain sepanjang persediaan pramusim dan mereka mungkin mampu mengejutkan City pada hari pertama.

PILIHAN PENGULAS:

Ian Wright: Juara (Liverpool), naib juara (Man City), tempat ketiga (Man Utd), tempat keempat (Arsenal).

Ruud Gullit: Juara (Liverpool), naib juara (Man City), tempat ketiga (Chelsea), tempat keempat (Man Utd)

Martin Keown: Juara (Liverpool), naib juara (Man City), tempat ketiga (Tottenham), tempat keempat (Man Utd).

Alan Shearer: Juara (Man City), naib juara (Liverpool), tempat ketiga (Man Utd), (tempat keempat) Tottenham.

Pat Nevin: Juara (Man City), naib juara (Liverpool), tempat ketiga (Man Utd), tempat keempat (Tottenham).

Chris Sutton: Juara (Man City), naib juara (Liverpool), tempat ketiga (Tottenham), tempat keempat (Man Utd).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 7:44 PM