PEMAIN Terengganu FC, Thierry Chantha Bin akui sukar tewaskan Perak di Ipoh. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


ARKITEK skuad Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin mengakui laluan untuk menundukkan Perak pada Sabtu ini di Stadium Perak sebagai tugas sukar, dan pemain import dari Kemboja itu meramalkan skuadnya bakal  dihujani tentangan sengit skuad tuan rumah.

Pemain berusia 27 tahun yang dilahirkan di Perancis dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Les Bleus Bawah 17 tahun ini percaya, skuad kendalian Mehmet Durakovic itu pasti tampil dengan strategi berbeza selepas sekadar seri 0-0 dengan FELCRA FC dalam aksi pertama peringkat kumpulan. 

“Biarpun pernah bertembung dua kali dengan skuad itu dalam saingan Liga Super yang berkesudahan kami menang 2-0 dan tewas 2-3,  tetapi ia bukan tugas mudah buat kami untuk menewaskan skuad itu lebih-lebih lagi beraksi di stadium mereka.

“Reputasi Perak sebagai naib juara Liga Super musim ini serta kegagalan mereka mengutip mata penuh dalam aksi pertama Kumpulan A, pasti mahu ditebus kehampaan itu dengan kemenangan apabila bertemu TFC nanti.

“Jadi, apa yang penting kami harus berusaha lebih keras dalam perlawanan itu nanti kerana bagi saya itu kunci kejayaan sebagaimana ketika menundukkan skuad Kuala Lumpur 5-1 Sabtu lalu,” katanya.

Chantha Bin yang kini menjadi pemain import tunggal dari Kemboja beraksi dalam saingan Liga Malaysia(Liga M) selepas tiga rakan senegaranya iaitu Chan Vathanaka (Pahang), Keo Sokpheng (PKNP FC) dan Mony Udom (Negeri Sembilan), tidak disambung kontrak mereka.   

Mengulas lanjut, pemain tengah yang memulakan karier bersama kelab RC Strasbourg dalam Liga Perancis bagaimana pun yakin strategi yang dirangka pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim mampu memerangkap skuad The Bos Gaurus itu.    

“Bagi saya jurulatih itu (Irfan Bakti) sarat dengan pengalaman selain bijak membaca corak permainan lawan, hal ini bakal memberi kelebihan kepada kami apabila bertemu Perak buat kali ketiga musim ini.

“Kami harap mampu melakar kejayaan kali kedua berturut-turut bagi melepasi peringkat kumpulan,” kata Chantha Bin yang mengakui sudah serasi dengan corak permainan rakan sepasukannya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 1:36 PM