BIARPUN ketinggalan, pasukan Standard Liege bangkit untuk menyamakan kedudukan ketika menentang Ajax dalam kelayakan Liga Juara-juara. Foto EPA
Reuters

STANDARD Liege bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Ajax Amsterdam, 2-2 manakala Benfica menang tipis 1-0 ke atas Fenerbahce dalam perlawanan pertama, pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Selepas ketinggalan dua gol pada babak pertama, Medhi Carcela merapatkan jurang untuk Liege sebelum Renaud Emond menyamakan kedudukan pada minit ke-94 menerusi sepakan penalti.

Jaringan itu sekali gus memadam kelebihan Ajax hasil jaringan awal Klaas-Jan Huntelaar dan Dusan Tadic yang meletakkan juara Piala Eropah empat kali itu selesa mendahului di awal saingan.

Pasukan pelawat - Ajax tampak selesa selepas bekas pemain sayap Southampton, Tadic membantu jaringan gol pertama menerusi hantaran bola lintang, sebelum dia sendiri meledak jaringan kedua.

Bagaimanapun, Liege dari Belgium nyata tidak mudah menyerah kalah dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti selepas Noussair Mazraoui mengasai pemain gantian, Moussa Djenepo.

Pemenang dalam aksi kedua di Amsterdam, minggu depan bakal berdepan Slavia Prague atau Dynamo Kiev pada aksi playoff untuk merebut tempat ke peringkat kumpulan kelab elit Eropah berkenaan.

Kedua-dua pasukan itu seri 1-1 di Czech, selepas Josef Jusbauer menyempurnakan penalti pada minit ke-95, sekali gus memadam kelebihan Slavia yang meraih gol menerusi Benjamin Verbic pada minit ke-82.

Di Lisbon, semakin hampir untuk layak selepas menguasai perlawanan menentang Fenerbahce dan meraih gol tunggal apabila percubaan Franco Cervi terbias sebelum menerjah gawang pada minit ke-69.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 8:03 AM