PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan beliau hanya mahu pemain yang memiliki motivasi terbaik. Foto EPA
Reuters

PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan beliau hanya mahu pemain yang memiliki motivasi terbaik di sebalik ketidakpastian membabitkan beberapa pemain bintang dalam skuad kendaliannya.

Pengendali dari Itali itu berkata, beliau akan bersemuka dengan penjaga gol, Thibaut Courtois minggu ini selepas ejennya, Christophe Henrotay dipetik menyatakan pemain kebangsaan Belgium itu bertegas mahu meninggalkan Stamford Bridge.

Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dipercayai antara destinasi pilihan pemain itu menjelang jendela perpindahan yang berakhir Khamis ini.

“Saya tidak mempunyai sebarang reaksi terhadap ejen, saya tidak berminat,” kata Sarri selepas tewas perlawanan pertamanya dalam aksi kompetitif selaku pengurus Chelsea apabila kalah 0-2 kepada Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti, malam tadi.

Courtois tidak beraksi pada perlawanan itu dengan penjaga gol kedua, Willy Caballero berdepan tugas berat menangani serangan bertali arus City.

“Saya mahu mendengarnya daripada Courtois esok. Saya hanya mahu pemain yang mempunyai motivasi paling tinggi,” kata Sarri yang menggantikan Antonio Conte.

Bekas pengurus Napoli itu mengakui ‘perbezaan yang sedikit, mungkin banyak’ antara dua pasukan di Wembley itu berkata, beliau mempunyai tempoh masa yang singkat dengan pemainnya susulan cuti rehat selepas Piala Dunia.

Dua tonggak, Eden Hazard dan N’Golo Kante juga tidak beraksi dengan Willian masuk sebagai pemain gantian.

Pengurus baharu itu berjanji untuk mengembalikan kegemilangan Chelsea tetapi kekalahan kepada City menjadi bukti masih banyak kerja keras yang perlu dilakukan Sarri bagi memastikan skuad itu mampu memberi cabaran dalam Liga Perdana Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 8:34 AM