LAMPARD lulus ujian pertama selaku pengurus. Foto REUTERS
AFP

BEKAS pemain Chelsea dan England, Frank Lampard lulus ujian pertama selaku pengurus pasukan apabila berjaya membantu Derby County bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Reading 2-1 menerusi gol minit terakhir perlawanan.

Tandukan Tom Lawrence pada masa kecederaan membolehkan Derby meraih tiga mata pertama dalam saingan musim baru Liga Kejuaraan Inggeris yang membuka tirainya awal pagi tadi.

Gol kemenangan itu turut menyaksikan penyokong meraikannya dengan cukup meriah di sekitar pekarangan Stadium Madejski.

“Kami perlu menikmati masa ini, ia adalah watak yang luar biasa,” kata Lampard, 40, kepada Sky Sports.

“Kami tidak bermain dengan baik pada babak pertama, namun pemain bangkit pada separuh masa kedua hingga Mason Bennett tampil selaku penyelamat pasukan untuk kami meraih kemenangan pertama.

“Walaupun Reading bermain lebih baik berbanding kami, tapi tuah nyata memihak pemain saya dan kami selayaknya meraih kemenangan ini.”

Reading yang mengelak tersingkir pada hari terakhir liga musim lalu, seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan banyak peluang untuk menambah gol.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-52 menerusi Jon Dadi Bodvarsson sebelum pelawat bangkit hasil gol Mason Mount selepas sejam dan Lawrence pada minit ke-94.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 8:57 AM