JURULATIH skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee (kanan) ketika bersama para pemain pada sesi latihan pertama skuad bawah 23 tahun negara bagi menghadapi cabaran sukan Asia Jakarta Palembang 2018. FOTO Bernama
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my


SKUAD bawah 23 tahun negara (B-23) perlu bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menaiki Barracuda (kereta perisai) atas faktor keselamatan apabila mereka mengharungi kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang bermula 10 Ogos ini.

Keselamatan kini menjadi topik utama buat pemain negara selepas tindakan melampau penyokong Indonesia sebelum ini.

Pada Kejohanan AFF B-19 di Surabaya 13 Julai lalu, skuad muda negara diserang dengan batu dan botol minuman yang dilemparkan penyokong Indonesia selepas tamat perlawanan.

Manakala yang terbaru, skuad B-16 negara diejek dengan laungan ‘Malaysia itu anjing’ oleh penyokong tuan rumah pada aksi pertama Kejohanan AFF di Surabaya malam tadi.

Dengan situasi itu, Kim Swee percaya anak buahnya perlu berjaga-jaga dengan segala provokasi dalam dan luar padang.

“Saya telah dihubungi oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di mana kita akan mendapat seorang pegawai keselamatan bersama pasukan kita di mana kita tahu keadaan amat tegang di sana (Indonesia).

“Keselamatan pemain dan pegawai amat penting. Jika kita mempunyai perancangan daripada segi keselamatan, dengan adanya pegawai keselamatan ini saya percaya mereka mempunyai perancangan tertentu jika apa-apa berlaku sebarang kemungkinan nanti.

“Jika itu (naik Barracuda) cara yang perlu dilakukan, barisan pemain dan pegawai akan mengikut setiap arahan yang dikeluarkan pegawai keselamatan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Menaiki Barracuda bukan sesuatu yang asing buat pemain negara apabila pernah mengharungi detik mencemaskan ketika menentang Indonesia pada final Sukan SEA Jakarta 2011 di Stadium Gelora Bung Karno.

“Saya percaya barisan jurulatih, pegawai dan juga pemain yang sedia ada ini mempunyai pengalaman cukup luas apabila bermain di Indonesia.

“Yang penting di sini kita tidak perlu lagi mengeruhkan keadaan di mana kita perlu mengambil sikap positif dan kekal fokus dengan perancangan kita daripada memikirkan benda lain,” katanya.

Pada saingan Sukan Asia yang bakal bermula 10 Ogos ini,  skuad negara diundi menentang juara bertahan Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Kyrgyzstan dalam Kumpulan E.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 7:23 PM