MAGUIRE tetap kekal bersama Leicester. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Pemain pertahanan, Harry Maguire tidak akan meninggalkan Leicester City ketika jendela perpindahan semasa walaupun ada pasukan lawan yang menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain England itu, kata pengurus kelab Liga Perdana Inggeris itu, Claude Puel.

Maguire mempamerkan persembahan mengagumkan dalam musim pertamanya bersama Leicester, apabila bermain dalam semua 38 perlawanan liga buat The Foxes dengan kelab itu menamatkan saingan liga di tangga kesembilan.

Persembahan baiknya itu turut memberi peluang buatnya beraksi bersama England pada Piala Dunia di Russia baru-baru ini.

Pemain berusia 25 tahun itu mempamer persembahan baik bersama England sekali gus membantu Three Lions layak ke separuh akhir dan tampil dalam semua tujuh perlawanan pada kejohanan itu.

“Saya yakin mengenai pembabitan Harry musim ini. Dia pemain yang amat bagus buat kami,” kata Puel kepada Sky Sports News.

“Saya tidak terkejut mengenai persembahannya pada Piala Dunia. Kami menyaksikan peningkatannya ketika babak kedua musim... ia bukanlah memeranjatkan bagi kami apabila dia beraksi dengan baik di peringkat antarabangsa.

“Sudah tentu bagi kami dia pemain yang amat bagus. Saya menantinya dengan sabar kerana kami perlukan Harry dan kami juga perlukan Jamie (Vardy) kerana mereka adalah Leicester.”

Puel berkata, jika Leicester menjual Maguire, pasti sukar untuk mencari penggantinya sebelum jendela perpindahan berakhir 9 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 4:52 PM
Skip this ad x