HARISS (kanan) mahu rakan sepasukan fokus setiap perlawanan. FOTO/FAIL
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


KAPTEN Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun menepis tanggapan pasukan itu akan mendapat laluan mudah mengharungi saingan kumpulan Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini.

Malah pemain kebangsaan Singapura itu menegaskan tiada perlawanan yang mudah dalam saingan piala berprestij itu sebaliknya ia tetap sukar tatkala berdepan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah, Kelantan dan MIFA dalam Kumpulan C.

Dia tetap menghormati tiga pasukan yang bersaing dalam kumpulan itu dan perlu fokus mengharungi setiap perlawanan dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu.

“Bagi saingan Kumpulan C, saya lihat ia tampak seimbang dan kami perlu memberi sepenuh tumpuan dalam setiap aksi bagi memastikan sasaran mara ke suku akhir menjadi kenyataan.

“Walaupun beberapa pemain tidak bersama JDT kerana menjalani latihan skuad bawah 23 tahun untuk persiapan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, ia bukan masalah buat JDT.

“Malah kami mempunyai pasukan hebat dan dibarisi pemain berkualiti yang mampu menggalas tugas untuk beraksi dalam kesebelasan utama tanpa menjejaskan perancangan jurulatih, Raul Longhi,” katanya.

JDT akan membuka tirai perlawanan Piala Malaysia musim ini menentang pasukan dari Liga Perdana, MIFA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 3:30 PM