EEI Hui (kanan) puas hati dengan persembahan yang dipamerkan Pang Ron, Yee See dan Tang Jie, Yen Wei.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan oleh gandingan muda, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei walaupun mereka tidak berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Russia.

Bagi Eei Hui, anak buahnya sudah menunjukkan peningkatan dalam latihan walaupun jurang masih jauh jika dibandingkan dengan tiga pasangan terbaik negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

“Memang sejak kebelakangan ini gandingan muda ini menunjukkan peningkatan terutama sekali Pang Ron, namun saya tetap ingin melihat bagaimana prestasinya ketika dalam pertandingan sebenar,” katanya.

Pang Ron-Yee See bukan saja berjaya mara hingga ke suku akhir kejohanan di Vladivostok itu, namun berjaya mengejutkan pilihan keempat Rodion Alimov-Alina Davletova pada pusingan kedua.

“Mereka beraksi dengan baik cuma saya berasakan mereka mampu mempertingkatkan lagi prestasi selepas ini,” kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Sementara itu, Pang Ron yang juga adik kepada beregu wanita negara, Vivian Hoo mengakui dia agak janggal beraksi pada kejohanan antarabangsa selepas kali terakhir tampil pada April lalu di Cabaran Antarabangsa Malaysia.

“Setakat ini apa yang saya lakukan adalah memberi fokus sepenuhnya dalam latihan, terutama sekali memperbaiki kelemahan,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Pujian harus diberikan kepada Tang Jie-Yen Wei apabila mereka berjaya ke separuh akhir sebelum kecundang kepada pilihan kedua dari India, Rohan Kapoor-Kuhoo Garg.

Aksi terbaik pasangan muda negara itu adalah apabila mengalahkan pilihan ketiga, Saurabh Sharma-Anoushka Parikh juga dari India pada suku akhir.

Tiga pasangan utama beregu campuran negara, Peng Soon-Liu Ying, Soon Huat-Shevon dan Kian Meng-Pei Jing kini sedang berentap pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:36 PM