MONUCCI mahu kembali ke Juventus. FOTO/AFP
AFP

ROME: Pengarah sukan AC Milan yang baru Leonardo mendedahkan hari ini bahawa kapten pasukannya Leonardo Bonucci mahu kembali ke Juventus, semusim selepas menyertai kelab berkenaan.

“Saya bertemu banyak kelab, termasuk Juventus,” kata Leonardo dalam sidang media yang memperkenalkannya dengan tugas baru di Milan.

“Keinginan untuk bercakap dengan Juve datang daripada mulutnya sendiri dan jika keadaannya sesuai kami akan usahakan menjadi kenyataan.”

Selasa lalu jurulatih Gennaro Gattuso mengakui Bonucci mahu meninggalkan Milan yang hanya menduduki tangga keenam musim lalu biarpun berbelanja lebih 200 juta euro (RM947.7 juta) untuk membeli pemain baru musim panas lalu dan 42 juta euro (RM199 juta) saja dibelanjakan untuk mendapatkan bek tengah Itali itu.

Pengumuman Leonardo itu mengesahkan laporan bahawa dia mahu kembali ke Turin di mana dia memenangi enam gelaran liga dan dua final Liga Juara-Juara bersama Juve.

Kemungkinan perpindahan Bonucci itu menggambarkan keadaan masih belum selamat buat AC Milan meskipun menyertai kembali Liga Europa bulan depan, selepas Mahkamah Timbangtara Sukan membatalkan penggantungan semusim kerana melanggar undang-undang fairplay kewangan UEFA.

Syarikat dana lindung nilai Elliot Management mengambilalih Milan awal bulan ini selepas pemilik sebelumnya dari China yang dikatakan berdepan masalah kewangan gagal membayar semula 32 juta euro (RM151. 6 juta) yang dipinjamkan Eliott untuk membiayai kelab berkenaan yang kemudiannya meningkat sehingga 120 juta euro (RM568.7 juta).

Elliot berjanji untuk menyuntik 50 juta euro (RM236.9 juta) untuk menstabilkan kewangan juara Eropah tujuh kali itu.

Leonardo yang juga bekas pemain Milan berkata Milan tidak sepatutnya berbelanja besar pada musim perpindahan dan berkata Gattuso akan kekal sebagai jurulatih biarpun ada khabar angin bahawa Antonio Conte akan menggantikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 10:33 AM