MALCOM kini bersama Barca. FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Barcelona berjaya mendapatkan penyerang Brazil, Malcom dengan harga 41 million euros (RM194 juta) daripada Girondins Bordeaux dengan kontrak lima tahun walaupun sebelum itu kelab Serie A, AS Roma terlebih dahulu hampir ‘menggenggam’ pemain itu daripada kelab Perancis itu.

Pemain berusia 21 tahun itu sepatutnya menyertai Roma minggu ini tetapi media melaporkan tawaran saat akhir Barcelona telah mengubah minda Malcom dan kini menjadi pemain baru ketiga Barca pada jendela perpindahan pemain.

“Perasaan yang sangat unik,” katanya di pejabat Barca, semalam. “Saya sangat gembira. Ini adalah impian saya sejak kecil untuk menjadi sebahagian daripada pemain kelab terhebat di dunia dan saya berharap dapat menggembirakan penyokong,” katanya ketika ditemuramah dalam laman web kelab.

Sementara itu Pengarah Sukan, Monchi dalam laman web Roma menjelaskan rasa tidak puas hati mereka. “Kami memikirkan pilihan lain dan melihat kemungkinan membabitkan aspek perundangan. Memang benar, tiada apa-apa ditandatangani tetapi terdapat banyak mesej di antara kami, ejen dan presiden mereka yang boleh membantu kami, “katanya.

Media melaporkan destinasi Malcom berubah selepas usaha Barca mendapatkan pemain Brazil, Willian dari Chelsea gagal.

“Malcom akan menjalani ujian perubatan hari ini dan terus menyertai kelab menghadapi US Tour,” menurut jurucakap juara Sepanyol itu.

Malcom menyertai Bordeaux dari kelab Brazil, Corinthians pada Januari 2016 dan menjaringkan 23 gol daripada 96 perlawanan bersama kelab itu. Dia pemain Brazil kedua dibeli Barca selepas mendapatkan pemain berusia 21 tahun, Arthur dari Gremio. Sebelum itu Barcelona menandatangani pertahanan Perancis berusia 23 tahun, Clement Lenglet dari Sevilla awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 11:29 AM