PENYERTAAN Moscon dibatalkan selepas pertelingkahan dengan pelumba lain. -Foto AFP
AFP

CARCASSONNE: Pelumba Itali, Gianni Moscon yang juga rakan sepasukan juara bertahan Tour de France, Chris Froome dari pasukan Sky dibatalkan penyertaan semalam selepas terbabit pertelagahan dengan pelumba lain.

Pegawai perlumbaan membuat keputusan itu selepas mendapati Moscon menimbulkan kemarahan dengan menggunakan tangan ke atas pelumba pasukan Fortuneo pada peringkat awal perlumbaan di Millau.

Menurut pegawai, pelumba Itali itu menggunakan taktik berbahaya ketika pelumba Fortuneo cuba membantu ketua pasukan, Warren Barguil untuk menyertai kelompok pemecahan awal pada peringkat ke-15 membabitkan laluan sejauh 181.5 km dari Millau ke Carcassonne.

Komisar perlumbaan menyifatkan insiden itu sangat serius dan membatalkan penyertaan pelumba berusia 24 tahun itu sebaik tamat perlumbaan yang dimenangi pelumba Denmark, Magnus Cort Nielsen dari pasukan Astana.

Pengurus Sky, Dave Brailsford menerima keputusan pembatalan Moscon.

“Gianni sangat kecewa dengan kelakuannya dan dia tahu telah mengecewakan dirinya, pasukan dan perlumbaan,” kata Brailsford dalam satu kenyataan.

“Kami akan berbicang dengan Gianni selepas Tour tamat dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Saya juga minta maaf kepada Elie Gesbert dan pasukan Fortuneo di atas kelakuannya.”

Insiden itu bukan pertama kali membabitkan Moscon yang kini tahun ketiga bersama Sky. Tahun lalu dia digantung oleh Sky selepas menghina pelumba Perancis, Kevin Reza di Tour of Romandie.

“Gianni tahu kesalahannya dan jika mengulanginya semula kontraknya akan ditamatkan,” kata Brailsford.

Pada penghujung musim lalu, Moscon juga didakwa mengasak pelumba Switzerland, Sebastien Reichenbach sehingga terbabas di Itali tetapi terselamat daripada sebarang hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:26 AM