PEMAIN Perak, Wander Luiz (kiri) cuba melepasi pemain Kedah pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Perak. Foto NSTP/EFFENDY RASHID
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my


PERAK tidak berjaya mengesahkan kedudukan selaku naib juara Liga Super 2018 apabila sekadar terikat 0-0 dengan Kedah di Ipoh, hari ini.

Anak buah Mehmet Durakovic itu kini terpaksa menunggu hingga ke perlawanan terakhir menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam pada 28 Julai ini.

Tuan rumah hanya boleh menyalahkan diri sendiri berikutan kegagalan mengutip mata penuh ketika dua jaringan mereka dibatalkan pengadil susulan ofsaid.

Di awal permainan, pelawat mempamerkan corak kemas dengan hantaran pendek untuk mengenakan tekanan ke kubu lawan.

Bagaimanapun, Perak memperkemaskan permainan berjaya merobek kubu Kedah pada minit ke-13 tetapi jaringan Mohd Nor Hakim dibatalkan kerana ofsaid.

Beberapa peluang lagi dicipta selepas itu tetapi jentera serangan Perak tampak ketandusan idea sehingga rehat.

Skrip sama berulang pada babak kedua dan sekali pun Gilmar Da Silva berjaya menjaringkan gol pada minit ke-77, tetapi ia sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid.

Selain Perak, pasukan lain yang turut berpeluang untuk menamatkan saingan selaku naib juara musim ini Pahang selain Terengganu yang memiliki kelebihan dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 12:20 AM