AKSI pemain Negeri Sembilan, Alex De Moraes Gomes menanduk bola sambil diasak pemain PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


NEGERI Sembilan (NS) mungkin sudah boleh melupakan hasrat untuk kekal dalam Liga Super musim depan selepas tewas kepada PKNP FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu.

Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak NS (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, berkata walaupun masih berbaki tiga perlawanan sebelum tirai liga musim ini dilabuhkan, namun penyokong tidak nampak hasrat berkenaan dapat direalisasikan. 

"Kekalahan terbaru NS kepada PKNP Sabtu lalu mungkin menutup terus peluang pasukan untuk kekal dalam Liga Super musim depan. 

"Ini kerana saingan liga hampir berakhir dan dengan hanya berbaki tiga perlawanan, agak mustahil buat Negeri Sembilan untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan berkenaan. 

"Malah, NS juga terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain terutama yang hampir dari segi kutipan mata dan peluang itu dilihat sesuatu yang mustahil untuk kekal dalam Liga Super musim depan," katanya di sini, hari ini. 

Ahmad Zaini berkata, penyokong kecewa dengan corak persembahan yang dipamerkan anak buah Mario Lemos pada aksi menentang PKNP apabila mereka gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan mencapai kemenangan.

Menurutnya, pemain dilihat mensia-siakan peluang itu, malah persembahan mereka tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan aksi dipamerkan ketika tewas kepada PKNS FC, di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Tegasnya, pemain skuad Hobin Jang Hobin dilihat seperti hilang rentak apabila tiada serangan mantap dan berkesan yang dapat dipamerkan. 

"Walaupun NS dilihat cuba mengimbangi kekuatan pemain PKNP, tetapi tiada serangan yang lebih berkesan dapat dilakukan ke kawasan kubu lawan sepanjang perlawanan dan angkara kealpaan bahagian pertahanan pula, akhirnya mereka dihukum, apabila tewas 1-2 kepada pasukan lawan," katanya. 

Begitupun Ahmad Zaini berkata, pihaknya berharap pemain pasukan itu dapat mempertahankan maruah dengan memberikan persembahan terbaik dalam tiga baki perlawanan dan mencapai kemenangan. 

"Biarpun peluang sudah tertutup tetapi pemain perlu tunjukkan komitmen tinggi kepada pasukan dengan memastikan kemenangan dicapai pada baki tiga perlawanan itu," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 11:37 PM