PELUMBA Belanda, Dylan Groenewegen. FOTO AFP
AFP

CHARTRES, Perancis: Pelumba Belanda, Dylan Groenewegen mengatasi pencabar gelaran pecut Colombia, Fernando Gaviria untuk memenangi peringkat tujuh Tour de France (TdF) pada penamat kayuhan sejauh 231 kilometer dari Fougeres ke Chartres, sebentar tadi.

Pelumba Lotto NL-Jumbo itu yang menang peringkat terakhir ke Paris tahun lalu, menewaskan pelumba Quick Step berkenaan untuk meraih kedudukan kedua, manakala bintang Slovakia, Peter Sagan (Bora) di tangga ketiga.

Pelumba Belgium, Greg Van Avermaet dari BMC, mengekalkan jersi kuning pendahulu menjelang saingan peringkat kelapan, esok.

Pasangan pelumba Perancis, Arnaud Demare dan Christophe Laporte masing-masing di tempat keempat dan kelima, ketika wakil tuan rumah gagal mencipta sebarang kemenangan pada hari ketujuh perlumbaan.

Ketika saingan di laluan berselekoh 90 darjah berbaki 2km ke garisan penamat pada kelajuan 60 km sejam, saingan sengit berlaku dalam jarak 1 km terakhir ketika barisan pelumba pecut mula mengatur posisi.

Namun peloton memperlahankan rentak dan perebutan berlaku ketika perlumbaan berbaki 150m dengan pasukan Bora, Quick Step dan Lotto tampak menguasai hingga pecutan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 2:48 AM