Ahmad Zaini (dua dari kiri) kecewa dengan persembahan skuad Negeri Sembilan. -Foto fail
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

SEREMBAN: “Kami amat kecewa dengan keputusan perlawanan malam tadi kerana meletakkan kedudukan Negeri Sembilan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan untuk kekal dalam Liga Super musim depan,” kata Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9fotbal.com), Ahmad Zaini Baharun, selepas pasukan itu tewas kepada PKNS FC.

Katanya, kekalahan 3-5 kepada PKNS itu meletakkan masa depan skuad Hobin Jang Hobin, yang berusaha untuk kekal di liga utama dalam situasi semakin sukar.

“Susulan kekalahan itu, kini kami sudah tidak lagi menaruh harapan yang tinggi untuk melihat pasukan ini dapat merealisasikan sasaran ditetapkan iaitu kekal dalam Liga Super musim depan.

“Dengan berbaki empat perlawanan dan hanya dua daripadanya di tempat sendiri, sukar bagi pemain untuk mempertahankan maruah pasukan, ketika pencabar terdekat lain dilihat terus mempamerkan persembahan terbaik dan berjaya bangkit mencipta kemenangan.

“Sejauh mana pasukan ini dapat mencipta kemenangan dalam baki empat perlawanan itu sukar dijangkakan jika dilihat kepada persembahan malam tadi,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zaini berkata, walaupun pemain dilihat berupaya memberikan saingan kepada skuad bimbingan Datuk K Rajagopal itu, namun benteng Hobin Jang Hobin juga mudah bolos.

Menurutnya, kelemahan sebegitu amat ketara dan berlaku pada perlawanan sebelum ini termasuk ketika tewas kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi di tempat lawan, 27 Jun lalu.

“Kami lihat kelemahan seperti itu terus berulang dalam pasukan ini sekali gus menyebabkan kami tidak berapa yakin untuk melihat mereka bangkit dalam baki empat perlawanan akan datang,” katanya.

Justeru itu katanya, anak buah Mario Lemos dan Mohd Asri Ninggal perlu menilai prestasi dan persembahan mereka, jika mahu menyelamatkan maruah Negeri Sembilan musim ini.

“Perlawanan akan datang akan menemukan kami dengan PKNP FC, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka United dan kesemua pasukan ini memiliki reputasi tersendiri.

“Sudah tentu Negeri Sembilan perlu menang semua perlawanan jika mahu kekal dalam Liga Super musim depan dan ia tugas berat yang belum pasti sama ada mampu dilakukan pemain ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 6:20 PM