PETER Sagan meraikan kemenangan di garisan penamat pada peringkat 5 Tour de France. Foto/AFP
AFP

PELUMBA Slovakia, Peter Sagan merangkul kemenangan peringkat keduanya di Tour de France (TdF) 2018 dengan menewaskan Sonny Colbrelli dan Philippe Gilbert di garisan penamat peringkat lima, semalam.

Pada perlumbaan yang berakhir di zon pendakian itu, penyandang juara, Chris Froome dari pasukan Sky dan beberapa pencabar utama berada di kelompok utama dengan juara Olimpik, Greg Van Avermaet (BMC) mengekalkan Jersi Kuning.

Jaguh Belgium, Philippe Gilbert melakukan pemecahan awal pada perlumbaan dengan jarak 204.5 kilometer itu tetapi pelumba Quick-Step itu gagal mempertahankan kelebihan apabila kembali ditangkap kelompok utama.

Peluang itu dimanfaatkan Van Avermaet tetapi apabila dia cuba melakukan pemecahan, tindakannya dilihat terlalu awal sebelum Sagan memintasnya dan menjuarai perlumbaan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Greg (Van Avermaet) kerana dia memberi bantuan apabila dia melakukannya, saya tidak tahu jika dia melakukannya dengan sengaja tetapi dia meninggalkan ramai orang,” kata Sagan yang turut mengukuhkan penguasaan Jersi Hijau (Pungutan mata).

Ketika ditanya sama ada perebutan Jersi Hijau di antara dia dan Fernando Gaviria akan berlaku sehingga penghujung perlawanan, Sagan begitupun berharap ia tidak menjadi seperti itu.

Kedua-duanya sudah mengumpul dua kemenangan peringkat setakat ini tetapi Sagan membuktikan telahannya tepat apabila pelumba Colombia itu bergelut di peringkat pendakian.

“Apabila dia tidak berada dalam kelompok memecut, ia sudah cukup bagus bagi saya,” kata Sagan yang ketika ini memiliki kelebihan 33 mata di depan Gaviria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 2:15 PM