Elavarasan tidak mahu pemain mendabik dada. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


MELAKA: Ketua jurulatih Melaka United (MU), E Elavarasan menuntut anak buahnya tidak mendabik dada di sebalik kemenangan bergaya menewaskan Kedah 4-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Menurutnya, dia berharap barisan skuad Hang Tuah terus konsisten dalam empat lagi baki perlawanan sekali gus dapat memperbaiki kedudukan di tangga ketujuh setakat ini.

"Kita berharap pemain mampu mempersembahkan aksi konsisten pada empat baki aksi liga selepas ini dan bukannya mendabik dada dengan kemenangan selesa malam ini.

“Saya bimbang sikap itu boleh 'memakan diri' dalam usaha pasukan meraih kedudukan lebih baik di carta liga," katanya sejurus perlawanan

Dalam perlawanan berkenaan, gol pembukaan MU hadir menerusi tolakan Khair Jefri Jones selepas menerima hantaran lintang Ifedayo Olusegun pada minit ke-33 diikuti jaringan R Gopinathan pada minit ke-37 dan m-62 untuk gol kedua dan ketiga skuad tuan rumah.

Pelawat merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Paulo Rangel pada minit ke-52, namun Ifedayo menyumbat gol keenam peribadinya sejak jendela perpindahan kedua, Mei lalu pada minit ke-84 sekali gus melenyapkan impian Kedah untuk pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Elavarasan bagaimanapun mengakui gol awal yang dihasilkan Khair Jefri Jones menjadi antara faktor kemenangan pasukannya walaupun pada awalnya persembahan dilihat seakan 50-50.

Sementara itu, pengurus Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin mengakui permainan serba tidak menjadi dan penguasaan bola lemah menjadi antara faktor kekalahan Lang Merah kepada MU.

“Situasi itu menyebabkan tuan rumah menggunakan kesempatan dan ruang yang ada untuk merobek gawang pasukan,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 5:47 PM