TORRES (kanan) sertai kelab Liga Jepun. FOTO/AFP
Agensi

MADRID: Fernando Torres mengesahkan dia akan menyertai kelab Liga Jepun, Sagan Tosu.

Perbincangan sudah dilakukan sejak beberapa minggu lalu dan timbul spekulasi rundingan itu tidak berjaya namun pemain berusia 31 tahun itu akhirnya sah berhijrah ke negara itu.

Sagan Tosu kini menduduki tangga ke-17 liga, hanya satu tangga daripada tangga tercorot apabila sekadar memenangi tiga daripada 15 perlawanan liga setakat ini.

Kelab dari Jepun itu berjaya mengetepikan pasukan dari Liga Australia, Melbourne Victory dan Sydney FC yang dikatakan berminat dengan khidmat penyerang Sepanyol itu yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Amerika Syarikat atau China.

Namun dia membuat keputusan untuk mengikut jejak langkah rakan senegaranya, Andres Iniesta yang menyertai Vissel Kobe selepas mengakui menerima banyak tawaran.

“Kami mendapat tawaran daripada semua benua. Pasukan baharu saya adalah kelab dari Jepun, Sagan Tosu.

“Mereka adalah antara kelab terawal yang berminat dengan saya dan berjaya meyakinkan saya dengan perancangan mereka.

“Saya menerima tawaran dari Perancis, Jerman dan Sepanyol. Namun saya tidak lagi memikirkan untuk beraksi di Eropah.

“Saya mahukan cabaran baharu di tempat yang jauh berbeza.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 11:10 PM