SKUAD hoki wanita negara menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Ezairi Shamsudin
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my

 

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak menolak kemungkinan terus menyenaraikan pemain berusia 14 tahun, Kirandeep Kaur pada siri perlawanan persahabatan dengan kelab di Queensland, Australia bermula 21 Julai ini bagi persiapan terakhir ke Sukan Asia Jakarta pada Ogos. 

Tegas Dhaarma, kehadiran pemain seperti Kirandeep memenuhi matlamat utamanya untuk mewujudkan persaingan sengit dalam pasukan sekali gus tiada sebarang jaminan untuk seseorang pemain itu kekal terpilih beraksi bersama skuad kebangsaan. 

Dhaarma sebelum ini membuat keputusan luar dugaan apabila memilih pemain semuda itu untuk beraksi pada Siri Hoki Terbuka Dunia di Singapura baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia muncul juara dengan Kirandeep berjaya menyumbang satu gol. 

“Saya tak mahu pemain sentiasa berasa selesa bahawa mereka akan terus terpilih mewakili negara. 

“Sebab itu saya cuba mewujudkan persaingan sihat di dalam pasukan dengan menyenaraikan beberapa muka baru termasuk Kirandeep. 

“Bermakna, kalau mana-mana pemain mahu terpilih beraksi bersama skuad kebangsaan, mereka perlu bersaing untuk merebut tempat. Justeru peluang masih terbuka luas untuk Kirandeep juga di bawa ke Australia," katanya. 

Jelas Dhaarma lagi, siri perlawanan persahabatan di Australia akan menjadi medan terakhir untuknya memilih barisan pemain terbaik ke Sukan Asia dan peluang itu juga boleh disambar oleh Kirandeep. 

“Sudah tentu saya hanya akan memilih yang terbaik untuk ke Sukan Asia. Jadi setiap pemain perlu bersedia di Australia untuk membuktikan bahawa mereka layak terpilih ke Sukan Asia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 7:34 PM