PEMAIN Selangor, Kugan Dhevarajan mengasak pemain Pahang, Mohd Faisal Mohd Rosli di Stadium Bukit Jalil. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Muhd Fitrie Muhamad dan Firdaus Hashim dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my

PENGALAMAN jelas menjadi pemisah antara pasukan Selangor dan Pahang pada aksi final Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Situasi itu diakui jurulatih skuad The Red Giants, Nazliazmi Nasir yang melihat skuad Tok Gajah berjaya mengambil kesempatan di atas kegugupan pasukan yang diperkuat pemain muda dan kurang pengalaman beraksi di pentas sebesar itu.

“Saya bersetuju bahawa barisan pemain agak gugup kerana kekurangan pengalaman. Pengalaman yang memisahkan kita pada malam ini apabila mereka jelas dibarisi pemain yang sudah biasa beraksi di perlawanan akhir,” kata Nazliazmi.

“Namun saya melihat ini memberi pengalaman yang berguna buat saya khususnya membabitkan keputusan yang perlu dibuat apabila berdepan situasi seperti yang berlaku pada aksi sebentar tadi.

“Apapun, saya yakin pemain muda ini akan menjadi lebih matang dan lebih baik dengan pengalaman yang berharga sebegini.”

Pada aksi final itu, Nazliazmi membuat percaturan berani dengan menurunkan empat pemain muda dalam kesebelasan utama iaitu K Kannan, Muhd Amirul Ashraff Ariffin, Syahmi Safari dan juga D Kugan.

Bagaimanapun, hasrat pasukan itu untuk menempah tiket ke pusingan kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim hadapan lebur selepas dijinakkan Pahang 2-0 pada pentas akhir itu.

Kali terakhir Selangor menjuarai Piala FA ialah pada tahun 2009 apabila menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 3:34 AM