REAKSI penyokong Brazil ketika wisel penamat ditiupkan. -Foto Reuters
Reuters

KAZAN: Harapan penyokong Brazil untuk meraikan gelaran Piala Dunia keenam di Russia lebur apabila pasukan kebangsaan mereka tewas 1-2 di tangan Belgium pada aksi suku akhir.

Belgium mendahului permainan selain mengekang kebangkitan Brazil pada babak kedua sebelum juara dunia lima kali itu ditunjuk jalan keluar. Belgium dijadual bertemu Perancis di suku akhir.

Jurutera, Flavio Montez mengharungi perjalanan lebih 12,500 kilometer (KM) dari Sao Paulo ke bandar tuan rumah Piala Dunia di Kazan semata-mata untuk menyaksikan perlawanan awal pagi tadi.

“Kami sangat kecewa kerana kami ke sini untuk melihat pasukan ke separuh akhir dan final,” katanya. “Tetapi ia sebaliknya, apapun ia satu perlawanan hebat dan Belgium bermain dengan baik. Kami perlu menerima hakikat inilah bola sepak.”

Daniel De Freitas Ariano juga dari Sao Paulo tidak begitu gembira dengan prestasi pemain pertahanan Brazil, Fernandinho yang menjaringkan gol sendiri pada awal perlawanan.

“Kami kecewa kerana Belgium bermain dengan baik sekali. Ia sentiasa sukar apabila pasukan lain turut bermain dengan baik,” katanya.

“Namun apa yang saya paling kecewa ialah Fernandinho. Dia punca kepada kekalahan. Apapun, kami ke sini untuk menyaksikan Piala Dunia dan biarpun tewas, ia pengalaman berharga buat kami. Hanya untuk berada di sini.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 7:54 AM