VAN Huizen tetap sasarkan emas dalam acara hoki di Sukan Asia Jakarta. FOTO/FAIL
Jugjet Singh
jugjet@nst.com.my


INDIA dan Pakistan dilihat cukup bersedia untuk bertemu Malaysia dalam perebutan pingat emas acara hoki di Sukan Asia Jakarta dari 19 Ogos hingga 1 September ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen enggan ambil pusing, sebaliknya mengakui banyak mengkaji persembahan kedua-dua pasukan itu pada edisi terakhir Trofi Juara-Juara di Belanda yang berakhir 1 Julai lalu.

India yang menduduki ranking keenam dunia, mempamer aksi memukau apabila berjaya mengikat pasukan ranking pertama dunia, Australia 1-1, namun tewas menerusi penentuan penalti shoot-out 1-3 ketika aksi final.

Pakistan pula yang menduduki ranking ke-13 dunia, menamatkan saingan di kedudukan keenam, namun berjaya mengikat Belgium 2-2 sebelum tewas 1-2.

“Ya saya menyaksikan kesemua perlawanan Trofi Juara-Juara dan meskipun saya teruja dengan aksi India serta Pakistan, saya juga banyak mempelajari beberapa perkara baharu menjelang saingan ke Sukan Asia.

“Kami masih meletakkan sasaran untuk memenangi emas di Jakarta bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Hanya pemenang emas di Jakarta layak beraksi secara automatik ke Sukan Olimpik dan jika tidak berjaya, mereka perlu melalui kempen kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 2:59 AM