Cavani akan berada di bangku simpanan menentang Perancis. FOTO EPA-EFE
Evening Standard

PENYERANG Uruguay, Edinson Cavani hilang tempat berada dalam kesebelasan utama berdepan Perancis pada saingan suku akhir Piala Dunia, esok.

Ini kerana setakat ini Cavani masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan betis.

Biarpun begitu, Uruguay belum putus asa untuk memastikan Cavani kembali cergas selepas meledak dua jaringan membantu skuadnya mengatasi Portugal 2-1 pada saingan kalah mati 16 pasukan terakhir.

Apapun, ia kelihatan seperti sukar buatnya untuk berada dalam senarai 11 pemain berdepan Perancis di Nizhny Novgorod.

Skuad Amerika Selatan itu berharap dapat menewaskan Perancis dan Cavani pula kembali cergas untuk beraksi pada separuh akhir bertemu Brazil atau Belgium di St Petersburg, Selasa depan.

Dengan ketiadaan Cavani, Cristhian Stuani atau Maxi Gomez berkemungkinan besar berganding dengan Luis Suarez di bahagian serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 7:47 PM