Abdul Azim Mohd Zabidi sedia rombak jika Syed Saddiq mahu berbuat demikian. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BERNAMA
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) bersedia menerima sebarang kemungkinan termasuk rombakan dalam struktur organisasi itu dan Program Podium sekiranya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu berbuat demikian.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, segala perkara mengenai pentadbiran ISN adalah tertakluk kepada kuasa Syed Saddiq.

"Untuk Program Podium, buat masa ini saya tidak boleh memberikan sebarang komen kerana seperti saya katakan, ia adalah di luar bidang kuasa saya, jadi kita serahkan perkara ini kepada menteri.

"Malah, kalau menteri mahu ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) digabungkan, kita ikut saja... takkan kita hendak kata tidak pula. Kalau beliau juga mengarahkan Program Podium tak perlu lagi maka kita akan akur.

"Kita juga berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dapat berjumpa beliau, mungkin dalam masa sehari dua untuk memberikan penerangan dan pencerahan terutama Sukan Asia," kata Abdul Azim yang juga Timbalan Presiden MOM.

Selepas pelbagai andaian, akhirnya teka-teki mengenai pelantikan Menteri Belia dan Sukan yang baharu terjawab apabila Syed Saddiq, 25, mengangkat sumpah memegang jawatan itu, hari ini.

Pelantikan Ahli Parlimen Muar itu mencatatkan rekod baru dalam legasi kepemimpinan muda dan menempa sejarah apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq, Azim menyifatkan pelantikan itu keputusan tepat.

“Syed Saddiq seorang yang muda, penuh tenaga dan kita yakin beliau boleh meniup semangat ke dalam sukan negara kita dan membawa idea-idea baharu supaya sukan negara dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih cemerlang,” kata Azim.

Sementara itu, Azim yang yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan Asia, bulan depan menegaskan pihaknya perlu berbincang bersama semua persatuan terlebih dulu mengenai sasaran pingat pada temasya itu.

"Saya perlu bertemu semua wakil 35 jenis sukan terlebih dulu sebelum membuat keputusan," katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama persatuan sukan, pengurus pasukan, atlet, jurulatih, wakil ISN dan MSN di Wisma MOM.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 8:54 PM