SEBASTIAN VETTEL
Reuters

SPIELBERG: Sebastian Vettel berkata, Ferrari melakukan keputusan tepat tidak menerapkan arahan pasukan ketika perlumbaan Formula Satu (F1) pada Grand Prix (GP) Austria semalam, meskipun dia berpeluang untuk mendahului kedudukan pemandu dengan mengumpul lebih banyak mata.

Vettel menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga di belakang rakan sepasukan dari Finland, Kimi Raikkonen sekali gus merampas kedudukan pendahulu daripada pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dengan kelebihan hanya satu mata.

Ferrari turut kembali mendahului dalam kategori pengeluar.

Sekiranya Raikkonen menyerahkan penamat kedua kepada Vettel - di litar yang terkenal pada 2002 yang menyaksikan Rubens Barrichello terpaksa akur arahan pasukan yang meminta Michael Schumacher memotongnya untuk meraih podium pertama - Vettel berpeluang mendahului kategori pemandu dengan kelebihan empat mata.

“Tidak, kenapa?” katanya ketika diajukan soalan sama ada arahan pasukan perlu diterapkan pada perlumbaan semalam.

“Max Verstappen (Red Bull) memenangi perlumbaan kerana dia sememangnya berhak untuk menang dan dia tidak melakukan apa-apa kesilapan. Raikkonen pula melakukan yang sebaik mungkin.

“Saya juga cuba untuk mengatasi kedua-dua mereka, tapi Raikkonen agak pantas. Kami berdua sudah mencuba baik yang mungkin,” katanya.

Raikkonen dilihat bekerja keras sehingga berjaya melakar masa terpantas pada pusingan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 2:06 PM