PEMAIN Croatia, Ivan Rakitic (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan, Luka Modric di Roschino Arena. FOTO AFP
AFP

SAINT PETERSBURG, Russia: Luka Modric seolah-olah datang daripada ‘planet yang berlainan’ dan adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak Croatia, kata rakan sepasukannya yang juga pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic.

Modric muncul sebagai seorang bintang di Piala Dunia setakat ini apabila meledak dua gol pada aksi peringkat kumpulan untuk membantu pasukannya mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan D.

Mereka bakal bertemu Denmark untuk slot ke suku akhir, Ahad ini dengan Sepanyol dan rakannya di Barcelona, Andres Iniesta mungkin menanti mereka di peringkat lapan terbaik itu.

Rakitic begitu mengenali Iniesta memandangkan mereka beraksi bersama di Barcelona dan dia menyifatkan Iniesta dan juga Modric sebagai pemain yang memiliki bakat menakjubkan.

“Nampaknya mereka adalah daripada ‘planet yang berbeza’ dan mereka datang untuk bermain bola sepak bersama manusia di sini,” kata Rakitic.

“Mereka adalah pemain yang hebat di posisi masing-masing. Satu penghormatan untuk beraksi bersama Andres di Barcelona sepanjang empat tahun ini dan bergandingan bersama Luka selama 11 tahun di Croatia.

“Anda perlu menikmati peluang ini dan belajar daripada mereka. Inilah perkara terbaik yang boleh berlaku kepada mana-mana pemain.

“Jika saya menubuhkan pasukan bola sepak, saya mahukan mereka dalam pasukan saya. Andres adalah rakan baik saya sementara saya mengganggap Luka sebagai abang saya.”

Bekas pemain tengah, Robert Prosinecki, yang melakukan 49 penampilan dan dianggap antara pemain terbaik negara itu turut menyatakan Modric adalah pemain terbaik pernah dilahirkan di negara itu.

“Saya setuju dengan pandangannya. Luka bukan sahaja pemain terbaik namun dia individu yang hebat, seorang pemimpin dan kami mengikutinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 12:29 AM