DHABITAH ketika ditemui dalam latihan persiapan ke Sukan Asia 2018 Jakarta dan Palembang di Bukit Jalil. -Foto OWEE AH CHUN
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.my


 

BUKIT JALIL: Penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui emosinya kembali stabil malah menyifatkan segala dugaan yang menimpa adalah satu pengalaman yang mematangkannya.

Nur Dhabitah menjelaskan dia sudah memulakan kehidupan baharu malah mengetepikan isu panas yang mencetuskan kontroversi di dalam skuad terjun kebangsaan, baru-baru ini.

Penerjun ini menjelaskan pada peringkat awal, dia menerima kecaman daripada pelbagai pihak namun dia terpaksa bersikap tidak ambil peduli akan segala tuduhan dan tohmahan dilemparkan terhadapnya.

“Sekarang emosi saya macam biasa, saya memulakan kehidupan baharu dan buat seperti biasa, berlatih bersungguh-sungguh dan benda itu letak belakang. Sebelum ini ada sedikit mengganggu emosi dan sekarang sudah stabil," kata Nur Dhabitah.

“Setakat ini sudah tidak ada kecaman terhadap saya tetapi semasa ia baru keluar, ada tapi saya letak belakang saja ... buat-buat tak nampak.

“Pengajaran berguna untuk saya selepas ini adalah sentiasa perlu peka, tak kisah dalam apa-apa insiden sekali pun."

Minggu lalu, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) tampil memohon masyarakat supaya tidak membuat tuduhan melulu dengan mengatakan semua atlet yang terbabit dalam video yang tular di media sosial mengambil minuman keras.

ASUM menegaskan meskipun kelibat Nur Dhabitah dilihat dalam salah satu daripada video berkenaan, penerjun muda itu tidak turut sama meminum minuman keras, begitu juga Hanis Nazirul Jaya Surya yang berada di bilik lain sewaktu kejadian.

Sebelum ini media melaporkan skuad terjun negara terpalit isu panas apabila video yang tular di internet menunjukkan penerjun Malaysia sedang bersuka ria, berfoya-foya serta meminum alkohol, dan kejadian itu dipercayai berlaku di Guangzhou, China.

Dalam perkembangan lain, Nur Dhabitah menjelaskan dia sedang giat menjalani latihan dan membaiki pencapaian lalu di temasya Sukan Asia, Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos ini.

“Saya meletakkan sasaran untuk mendapatkan pingat dengan acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita dengan Wendy Ng Yan Yee dan 1m papan anjal wanita.

“Saya tidak kisah warna pingat kerana China akan mengungguli tempat pertama dan kedua. Bagi saya China tentu kuat, begitu juga Korea tapi saya harap dapat gunakan terjunan besar saya, kalau dapat terjun dengan cantik, Insya-Allah saya boleh dapat nombor tiga,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 8:28 PM