Rodriguez (kanan) dikeluarkan selepas beraksi 30 minit kerana cedera. FOTO AFP
Reuters

SAMARA, Russia: Jurulatih Colombia, Jose Pekerman mengakui beliau gusar selepas perancangnya, James Rodriguez terpaksa dikeluarkan pada aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Senegal, hari ini.

Rodriguez hanya beraksi selama 30 minit sebelum digantikan pada aksi yang penuh dramatik buat Colombia yang meraih kemenangan 1-0 sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukannya bagi aksi pusingan kalah mati.

Jika pemain yang dipinjamkan ke Bayern Munich dari Real Madrid itu gagal pulih dalam tempoh masa terdekat, sudah tentu situasi itu memberi tamparan hebat buat skuad Amerika Selatan itu.

Dia bermula dari bangku simpanan pada aksi pertama bertemu Jepun namun diturunkan dalam kesebelasan utama dengan persembahan mengagumkan pada perlawanan kedua menentang Poland.

“Apa yang boleh saya katakan adalah saya begitu risau, ia situasi yang sukar buat pasukan saya,” kata Pekerman.

“Ia situasi yang tidak selesa buat kami. Dia berlatih dengan normal hingga hari ini dan dia kekal di padang selepas menjalani latihan sepakan percuma dan penalti.

“Dia begitu cergas pada sesi latihan terakhir, tiada sebarang tanda kecederaan. Namun kini, saya tidak tahu apa statusnya.”

Colombia sudah pasti kehilangan daya kreatif yang dimiliki Rodriguez jika dia disisihkan pada aksi peringkat 16 terakhir selepas mereka bergelut mengatasi pertahanan Senegal sebelum tandukan Yerry Mina membolehkan mereka meraih kemenangan dramatik 1-0.

Keputusan itu membolehkan Colombia muncul juara Kumpulan H sementara Senegal tersingkir selepas memiliki rekod disiplin lebih buruk berbanding Jepun.

Ia kali pertama dalam sejarah Piala Dunia yang mana pasukan tersingkir menerusi jumlah kad kuning yang diperoleh.

Pekerman mengakui ia satu keputusan yang kejam untuk tersingkir daripada saingan Piala Dunia namun ia tidak begitu teruk berbanding tewas menerusi sepakan penalti penentuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:22 AM