K Devan. FOTO DANIAL SAAD
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


SEREMBAN: Kekalahan 1-2 kepada FELCRA FC dalam saingan Liga Perdana malam tadi, tidak akan menjejaskan misi MIFA untuk memburu kedudukan dua pasukan terbaik liga dan layak beraksi pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Ketua jurulatihnya, K Devan yakin skuad bimbingannya akan bangkit pada baki tiga perlawanan liga untuk menamatkan saingan musim ini dengan pencapaian cemerlang.

"Kekalahan malam tadi memang mengecewakan, tetapi ia berlaku disebabkan kita beraksi dengan 10 pemain selepas Kpah Sherman dilayangkan kad merah pada minit ke-40.

"Ketiadaan Sherman sepanjang separuh masa kedua menjejaskan rentak persembahan pasukan, sedangkan kita terlebih dahulu mendahului lawan.

"Namun, saya yakin kekalahan itu tidak akan mematahkan semangat pemain dan menjejaskan misi kita untuk layak ke saingan Piala Malaysia selain berada dalam dua kelompok terbaik liga musim ini," katanya, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Devan berkata, anak buahnya beraksi baik dan mengikuti arahannya sepertimana yang dirancangkan, tetapi kad merah yang dikenakan kepada Sherman mengubah segala-galanya.

Pengendali berpengalaman itu menjelaskan, mereka akan memanfaatkan tempoh rehat panjang sebelum menghadapi perlawanan berikutnya pada 12 Julai ini, untuk memperkemaskan jentera pasukan itu.

Pada masa sama, tempoh itu juga akan memberi peluang kepada beberapa pemain yang cedera untuk pulih dan kembali cergas.

Selepas menamatkan 18 perlawanan setakat ini, MIFA berada di tangga keempat carta dengan mengumpul 23 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:16 PM