PEMAIN Selangor, Rufino Segovia meraikan jaringan penyamaan pada aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur. FOTO Zulkepli Osman
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


SKUAD Pahang sekadar mengutip satu mata apabila terikat 1-1 dengan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan gagal mempamerkan aksi agresif terutama pada separuh masa pertama.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-22 manakala cubaan lawan pula oleh Rufino Burgo pada minit ke-27.

Pahang dan Selangor yang beraksi mendatar, masing-masing berusaha untuk mendapatkan gol pendahuluan tetapi akur keputusan seri tanpa jaringan sebaik tempoh 45 minit perlawanan berakhir.

Namun, tiga minit babak kedua bersambung, tuan rumah menjaringkan gol pendahuluan menerusi pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria selepas Austin Amutu gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Sebelum ini, Amutu dijatuhkan pemain pertahanan Selangor, Alfonso Calero di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed memberikan penalti buat tuan rumah.

Pada minit ke-61, penyerang berbisa Red Giants, Burgo menjaringkan gol penyamaan selepas menewaskan penjaga gol pahang, Helmi Eliza Elias.

Selepas itu, skuad Tok Gajah berusaha untuk mendapatkan gol kedua tetapi tertekan dengan pertahanan kental Red Giants dan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 12:19 AM