Putera William (tengah) bersama Putera Jordan, Al Hussein Abdullah (sut biru) bersama kanak-kanak pelarian Syria. FOTO EPA-EFE
AFP

AMMAN: Ketika England membenam Panama 6-1 semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak (FA), Putera William terbang ke Jordan bagi lawatan bersejarah ke Timur Tengah.

Justeru, Duke of Cambridge itu terlepas perlawanan berkenaan yang menyaksikan The Three Lions mara ke pusingan 16 terakhir.

Namun, William berpeluang menyaksikan perlawanan itu menerusi siaran ulangan bersama Putera Mahkota Jordan, Putera Hussein Abdullah.

Pewaris takhta Jordan itu kemudian memuat naik gambar di akaun Instagram pada lewat semalam menunjukkan baginda dan William menyaksikan siaran ulangan perlawanan itu menerusi televisyen besar.

Kedua-duanya kelihatan duduk di sofa yang juga terletak di sebuah bilik rekreasi di Beit al-Ordon, kediaman peribadi keluarga diraja Jordan di daerah Hummar, barat Amman.

William, 36, yang juga peminat Aston Villa kelihatan memakai seluar berwarna kuning air dan baju kemeja berwarna biru muda, sementara Hussein, 23, memakai T-shirt dan juga seluar jeans.

“Berehat bersama Putera William, Duke of Cambridge selepas hari pertamanya di #OurJordan,” kata Hussein dalam kapsyen dua gambar yang dipaparkannya itu.

“Menyaksikan perlawanan ulangan pasukan England yang kami terlepas awal hari ini,” katanya.

William tiba di Jordan pada Sabtu lalu bagi memulakan lawatan ke Timur Tengah yang juga kunjungan pertama kerabat diraja Britain yang membuat lawatan rasmi di Israel dan Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 8:16 PM