Mehmet (kiri) akui Perak berada pada tahap terbaik. FOTO EFFENDY RASHID
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my

 

IPOH: Pemain Perak diharap tidak mensia-siakan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila melayan kunjungan Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam esok.

Gesaan itu dibuat oleh pengendali Perak, Mehmet Durakovic dalam usaha mencapai impian muncul naib juara liga musim ini.

Perak ketika ini menduduki tangga kedua dengan kelebihan satu mata, mengatasi Pahang dan Kedah yang masing-masing mengutip 27 mata, manakala Terengganu pula di tangga keempat dengan 24 mata.

"Kami berada pada kedudukan baik ketika ini. Selepas sekian lama tidak berada di kedudukan sebaik ini, saya berharap pemain mengusahakan supaya ia berkekalan hingga ke akhir musim," kata Durakovic.

Durakovic yakin skuad bimbingannya berupaya untuk menamatkan kempen kali ini dengan pencapaian cemerlang, dengan syarat perlu mengutip mata penuh dalam semua baki perlawanan bermula malam esok.

"Ada baki enam perlawanan lagi di mana empat di gelanggang sendiri termasuk malam esok. 

Perak perlu kutip mata penuh dalam semua perlawanan itu," kata Durakovic yang turut risau dengan masalah kecederaan dihadapi The Bos Gaurus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 6:59 PM