JELIUS yakin anak buahnya ada potensi untuk bersaing ke Liga Super. FOTO/FAIL
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my


PENGADALI Sabah, Jelius Ating mahu pemainnya terus fokus dan bekerja keras bagi mengekalkan rentak kemenangan apabila turun menentang Sarawak dalam aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, Kuching, petang esok.

Dengan saingan liga hanya berbaki lima perlawanan bagi pasukan itu, Jelius berharap mereka akan dapat mengatasi Sarawak sekali gus terus menghidupkan peluang untuk layak ke Piala Malaysia musim ini, selain mengintai peluang untuk beraksi di Liga Super, musim depan.

“Sasaran saya masih kekal iaitu layak ke Piala Malaysia dan Liga Super, namun ini hanya akan jadi kenyataan jika kita bekerja keras dan menang semua lima baki perlawanan yang ada.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil (mencapai sasaran), apa yang penting pemain terus fokus dan meneruskan rentak kemenangan seperti mana dicapai dalam dua aksi lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata pemain juga perlu meneruskan semangat melawan seperti ditunjukkan ketika bertemu MISC-MIFA tempoh hari apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum memenangi perlawanan itu.

“Bagaimanapun pada perlawanan itu, ada beberapa kelemahan yang kita kesan terutama di awal 25 minit permainan iaitu saya lihat pemain ‘lambat panas’ sehingga dibolosi dua kali. Sehubungan itu, saya harap pemain akan memulakan permainan baik mereka di awal perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Jelius berkata, dua tonggaknya iaitu Maffry Balang dan Jenius Karib masih belum dapat diturunkan kerana kecederaan namun mereka mendapatkan semula khidmat Maxsius Musa yang selesai menjalani penggantungan perlawanan.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim selaku penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh dan Dendy Lowa.

Pemain dari Jepun, Keisuke Ogawa pula mengemudi bahagian tengah dibantu Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar, dan Maxsius manakala Hector Omar Ramos serta Rodoljub Paunovic akan terus menggalas tugas selaku pemburu jaringan.

Selepas 15 perlawanan, Sabah berada di kedudukan kelima dengan 21 mata hasil daripada lima kemenangan, enam seri dan empat kekalahan.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu hanya ketinggalan empat mata di belakang FELCRA FC yang dikini menduduki tempat kedua liga, namun pasukan berkenaan memiliki kelebihan satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 12:59 PM