LEWIS HAMILTON
AFP

LE CASTELLET: Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mengungguli hari pertama sesi latihan bebas Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Perancis di Litar Paul Ricard yang dipenuhi deretan insiden, hari ini.

Pada hari yang panas dan kadang kala berangin di selatan Perancis itu, penyandang juara dunia itu yang ketinggalan satu mata di belakang pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dalam kedudukan pelumba mencatatkan masa terpantas 1 minit 32.231 saat (s).

Rakan sepasukannya, Valtteri Bottas mencatat masa kedua terpantas, ketinggalan 0.140s.

Begitupun, sesi latihan itu berakhir dengan drama apabila berbaki tiga minit, pelumba Sweden Marcus Ericsson mengalami kemalangan ngeri apabila jenteranya merempuh penghadang dengan kelajuan tinggi di selekoh Beausset.

Jentera Sauber yang dipandunya terbakar tetapi Ericsson tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mercedes dalam pada itu bertekad untuk bangkit selepas mengalami kekecewaan di Kanada, dua minggu lalu yang menyaksikan Vettel meraih kemenangan ke-50 kariernya sekali gus merampas tangga teratas.

Pelumba Australia Daniel Ricciardo merekod masa ketiga terpantas buat Red Bull diikuti pelumba Finland, Kimi Raikkonen dan rakan sepasukannya dari Ferrari, Vettel.

Turut mengalami kemalangan ialah pelumba New Zealand dan Toro Rosso, Brendon Hartley diikuti pelumba Perancis dan Force India, Esteban Ocon sebelum Ericsson.

Dalam insiden berasingan, Hamilton juga hampir dipalit kemalangan apabila pelumba Belgium, Stoffel Vandoorne secara tiba-tiba memperlahankan jentera McLaren yang dipandunya ketika laluan lurus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 11:57 PM