K Devan. FOTO DANIAL SAAD
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


SEREMBAN: Ketua jurulatih pasukan Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA), K Devan tidak mahu terlalu fokus mengejar kedudukan kedua Liga Perdana sebaliknya mahu menumpukan misi menamatkan baki saingan dengan keputusan cemerlang.

Pengendali berpengalaman itu berkata, walaupun peluang mendapatkan tempat kedua carta cerah, pihaknya tidak mahu pemain memikirkannya terlalu awal.

"Kami masih ada baki empat perlawanan selepas ini iaitu dua di tempat sendiri dan dua di gelangang lawan bertemu FELCRA FC, Johor Darul Ta`zim II (JDT II), UKM FC dan Terengganu FC II yang kesemuanya adalah pencabar terkuat dalam liga.

"Saya mahu pemain tumpukan perhatian terlebih dulu kepada perlawanan itu dengan memastikan ia dapat ditamatkan dengan cemerlang.

"Walaupun peluang untuk menamatkan saingan di tempat kedua dilihat cerah, saya mahu pemain MIFA tidak terlalu yakin," katanya, hari ini.

Menurut Devan, pasukannya berada pada landasan tepat untuk mencipta kejutan namun perlu memastikan kemenangan dicapai dalam empat aksi terakhir itu. Sehubungan itu, bekas pengendali Negeri Sembilan itu berharap anak buahnya dapat kekalkan prestasi terbaik dan tidak terlalu cepat berpuas hati sebelum berakhirnya cabaran musim ini.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan komitmen dan keseluruhan persembahan pemain, namun usaha dan kerja keras perlu diteruskan untuk memastikan pasukan dapat mengutip mata pada empat baki saingan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kekalahan tipis 2-3 kepada Sabah di tempat lawan pada Rabu lalu, Devan yakin tidak akan menjejaskan konsentrasi pemain dan prestasi pasukan itu.

Selepas 16 perlawanan, MIFA menduduki tangga keempat carta dengan mengumpul 23 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:56 PM