PENGARAH Program Podium, Tim Newenham, berkenaan sidang media permohonan maaf secara terbuka atlet terjun negara berkenaan video yang tular di media sosial di Majlis Sukan Negara. FOTO Saifullizan Tamadi
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


PENERJUN negara yang terpalit dengan kontroversi berpesta dan meminum alkohol seperti yang tersebar dalam rakaman video boleh dibuang daripada Program Podium sekiranya didapati bersalah.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham berkata, pengakuan setiap atlet terbabit pastinya akan membantu kes itu. 

"Ia mungkin boleh bermula daripada terlepas sebarang tuduhan sehinggalah disingkirkan daripada program. 

"Jelas sekali penerjun negara berada di tempat kejadian dan mereka mengakuinya. Cara mereka menangani isu ini selepas itu menunjukkan mereka mempelajari kesilapan yang dilakukan," katanya dalam sidang media, hari ini. 

Newenham berkata, klausa mengenai pengambilan alkohol terdapat dalam kontrak atlet yang berada di bawah Program Podium. 

"Apa yang kami nyatakan di dalam kontrak ialah jangan mengambil alkohol berlebihan. 

"Apa yang kami tekankan adalah sebagai atlet profesional, anda perlu berlatih untuk menjadi yang terbaik dan menjadi altet profesional,” katanya. 

Newenham berkata, Institut Sukan Negara (ISN) dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan cuba menangani isu berkenaan secepat mungkin kerana Sukan Asia bakal berlangsung tidak lama lagi. 

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen semalam, elaun kesemua penerjun yang terbabit digantung serta merta. 

Terdahulu, skuad terjun negara sekali lagi terpalit kontroversi apabila video memaparkan beberapa penerjun sedang bersuka ria dan meminum alkohol, dan ia didakwa berlaku ketika sesi latihan di Guangzhou, China.

Video yang didakwa dirakam Februari lalu menunjukkan perbuatan itu membabitkan beberapa penerjun senior daripada program berkenaan dan juga penerjun remaja.

Sebelum ini isu panas turut membabitkan skuad terjun apabila jurulatih kebangsaan dari China, Huang Qiang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol seorang penerjun wanita, September tahun lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 7:04 PM