Maththew (kiri sekali, belakang) ketika menentang Negeri Sembilan. FOTO fail HM
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


KUANTAN: Tiga tonggak skuad Pahang tidak dapat disenaraikan apabila melayan kunjungan PKNP FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Mereka adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih yang digantung perlawanan kerana kad kuning pada perlawanan sebelumnya.

Justeru, skuad kendalian Dollah Salleh itu perlu membuat percaturan dalam usaha memperkemaskan jentera tengah dan pertahanan Tok Gajah daripada memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

Bagi pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, ketiadaan tiga pemain utama itu begitu dirasai ketika misi pasukan ke pentas final piala berprestij itu.

“Segalanya perlu dilakukan barisan pemain sedia ada untuk menyekat PKNP daripada merekodkan kemenangan terutama menjaringkan gol. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk memperkemaskan jentera tengah dan pertahanan kerana pengalaman Davies, Safuwan dan Azam begitu diharapkan.

“Tapi, saya yakin dengan pemain yang akan mengisi kekosongan itu. Mereka mampu beraksi dengan baik untuk memastikan Pahang mencatat kemenangan sebagai bekalan apabila beraksi pada separuh kedua nanti,” katanya.

Dengan rekod cemerlang PKNP dalam aksi Liga Super, Pahang selaku tuan rumah perlu memanfaatkan kelebihan itu untuk mencatat kemenangan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 4:28 PM