PEMAIN Colombia akur selepas tewas 1-2 kepada Jepun pada aksi Piala Dunia kumpulan H, semalam. FOTO EPA-EFE
AFP

COLOMBIA tiba di Piala Dunia 2018 dengan status antara pasukan paling menghiburkan, diperkuatkan oleh pemain berpengaruh James Rodriguez dan dijangka mampu pergi jauh pada kempen di Russia.

Begitupun, hanya tiga minit diperlukan pada perlawanan pembukaan, semalam ketika bertemu wakil Asia, Jepun bagi merobek segala perancangan awal mereka.

Kehilangan Carlos Sanchez yang dilayangkan kad merah di awal permainan aksi pembukaan Kumpulan H itu bermakna Colombia tiada jalan lain selain mendaki gunung tinggi yang melelahkan.

Sekali pun mereka masih bermain dengan penuh gaya dan keberanian, malah hampir mengikat lawan yang memperoleh gol pembukaan menerusi penalti, tetapi beraksi dengan 10 pemain terutama pada babak kedua jelas terlalu sukar.

Jepun kemudian mengesahkan kemenangan dengan keputusan 2-1 untuk menjadi pasukan Asia pertama menewaskan wakil Amerika Selatan di Piala Dunia.

“Pemain berusaha dengan amat keras. Fikirkan mengenai kawalan di kawasan yang sama dia atas padang dengan kurang seorang pemain,” kata jurulatih, Jose Pekerman.

“Selepas usaha keras dan menjaringkan gol, kami semua penat dan keletihan, dan amat sukar untuk kami mengawal penguasaan bola dan memberikan Jepun peluang.”

Colombia selepas ini berdepan laluan sukar untuk layak ke peringkat kalah mati dengan satu lagi aksi kumpulan menyaksikan Senegal menewaskan Poland 2-1.

“Pemenang tidak akan berhenti selepas melakukan kesilapan. Mereka bangkit dan menunggu dengan sabar menunggu peluang berikutnya untuk memperbaiki perkara. Saya percaya dengan pasukan saya,” kata Pekerman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 9:55 PM