Abdul Azim berkata ISN akan keluar kenyataan rasmi. Foto kecil, jurulatih kebangsaan, Zhang Yukun. FOTO OWEE AH CHUN.
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.mY


KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) tidak akan berdiam diri mengenai kontroversi membabitkan kem terjun negara sebaliknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh terlebih dulu.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menjelaskan pihaknya akan memanggil semua pihak bagi mendapatkan penjelasan dan menjangkakan kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan akan dikeluarkan, hari ini.

“ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyiasat perkara ini dengan penerjun dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) terlebih dulu.

“Kemudian kita akan mengeluarkan kenyataan rasmi petang ini, Insya-Allah. Apapun saya terkejut akan perkara ini kerana kami tidak tahu menahu malah ia tidak dilaporkan,” kata Abdul Azim, ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu skuad kebangsaan menggemparkan negara apabila terpalit kontroversi baharu apabila video memaparkan beberapa atlet terjun sedang bersuka ria dan meminum alkohol, dan ia didakwa berlaku ketika sesi latihan di Guangzhou, China.

Video yang didakwa dirakam Februari tahun ini menunjukkan perbuatan itu membabitkan beberapa penerjun senior dari Program Podium dan juga penerjun remaja.

Sebelum ini isu panas turut membabitkan skuad terjun apabila jurulatih kebangsaan dari China, Huang Qiang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol seorang atlet penerjun wanita, September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 1:28 PM