PENJAGA gol Jerman, Bernd Leno. Foto Google Images
AFP

ARSENAL mengikat penjaga gol Jerman, Bernd Leno selain mengesahkan rakan senegaranya, Jens Lehmann tidak lagi bersama kakitangan kejurulatihan kelab itu.

Leno, 26, menyertai Gunners di bawah kendalian Unai Emery yang menggantikan Arsene Wenger di kelab utara London itu selepas pengendali dari Perancis itu meletak jawatan akhir musim lalu.

“Bagi saya ia satu impian menjadi kenyataan dapat bermain untuk Arsenal,” kata Leno.

“Di Jerman, Arsenal cukup terkenal dan apabila saya mendapat tahu (mengenai perpindahan), saya sedikit gemuruh, tapi pada masa sama ia cukup jelas buat saya: saya mahu menyertai Arsenal.

“Saya akan cuba membantu pasukan kembali ke Liga Juara-Juara dan memenangi beberapa trofi. Arsenal berhak berada dalam Liga Juara-Juara.

“Kini ia babak baru untuk kelab. Saya bercakap dengan Unai Emery dan beliau percaya saya seorang penjaga gol yang bagus dan beliau mahu saya menyertai mereka.”

Menurut Emery, Leno seorang penjaga gol berkualiti dan berpengalaman dan dia akan menyertai skuad yang mana penjaga gol veteran Petr Cech dan David Ospina, yang kini beraksi di Piala Dunia bersama Colombia, menjadi penjaga gol utama.

Arsenal, yang menamatkan liga di tangga keenam musim lalu, sebelum ini mendapatkan khidmat pertahanan Switzerland, Stephan Lichtsteiner dari Juventus, manakala pemain tengah Granit Xhaka melanjutkan kontraknya.

Bekas penjaga gol Arsenal, Lehmann pula menyertai senarai jurulatih yang meninggalkan kelab, dengan pengendali baharu dari Sepanyol itu membawa masuk pembantunya ke Stadium Emirates.

Bagaimanapun pembantu Wenger, Steve Bould, bekas pertahanan Arsenal, kekal dalam pasukan Emery.

Lehmann, anggota skuad ‘Invincibles’ Arsenal yang memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris 2003-04 selepas mengharungi 49 perlawanan liga tanpa kalah menulis di laman Twitter: “Kepada penyokong Arsenal, maaf kerana meninggalkan kelab hanya selepas setahun sekali lagi. Ia pengalaman yang baik bekerjasama dengan pemain sebagai penolong jurulatih..”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 8:48 AM