KETIBAAN Willem Geubbels adalah sebahagian daripada impian AS Monaco. Foto Google Images
Reuters

AS Monaco membeli penyerang Olympique Lyonnais berusia 16 tahun, Willem Geubbels dengan yuran perpindahan bernilai RM92.8 juta (29 juta euro).

Geubbels yang meledak 12 gol dalam 21 perlawanan bersama pasukan remaja Perancis hingga peringkat bawah 18 tahun, membuat kemunculan pertama dalam Ligue 1 musim lalu ketika berusia 16 tahun, satu bulan dan tujuh hari sekali gus muncul selaku pemain pertama yang lahir pada abad ke-21 beraksi di Ligue 1.

“Ketibaan Geubbels adalah sebahagian daripada impian kami untuk membangunkan bakat terbaik Eropah,” kata ketua pegawai eksekutif (CEO) AS Monaco, Vadim Vasilyev dalam laman rasmi kelab itu.

“Geubbels mempamerkan kualiti terbaik dan mempunyai potensi hebat. Dengan kesabaran dan kerja keras, kami yakin dia akan berada di tahap tertinggi satu hari nanti.”

Geubbels dalam pada itu berkata: “Saya amat gembira bersama AS Monaco. Ia kelab bersejarah yang pernah bermain di Liga Juara-Juara selain banyak memainkan peranan utama di Ligue 1 setiap tahun.

“Impian projek kelab ini begitu tinggi dan bergantung kepada perkembangan pemain muda. Saya tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan baharu, untuk belajar daripada mereka. Saya sudah bersedia dan mahu membantu pasukan melakukan perkara hebat.”

Monaco muncul naib juara Ligue 1 musim lalu, 13 mata di belakang Paris St Germain dan terkeluar daripada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas menghuni tangga tercorot kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 8:17 AM