PASANGAN beregu negara, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon perlu pamer persembahan terbaik di Terbuka Malaysia. FOTO Yazit Razali
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


CHAN Peng Soon-Goh Liu Ying perlu meningkatkan lagi persembahan jika berhasrat untuk menamatkan saingan Sukan Asia Indonesia, Ogos depan di pentas podium.

Menurut jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui walaupun anak buahnya itu berjaya merangkul kejuaraan kedua musim ini di Terbuka Amerika Syarikat, namun beliau masih kurang yakin dengan kemampuan gandingan berkenaan untuk meraih pingat di temasya yang berlangsung di Jakarta-Palembang.

 Eei Hui ketika ini mencabar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu untuk mempamerkan persembahan terbaik di Terbuka Malaysia tatkala mereka masih lagi segar dengan kejayaan yang diraih di Fullerton, California.

 "Terbuka Amerika Syarikat tidak boleh dibandingkan dengan Terbuka Malaysia atau Sukan Asia. Tahap kedua-dua kejohanan ini berbeza.

 "Ketika di Terbuka Amerika Syarikat, Peng Soon-Liu Ying tidak mempamerkan aksi terbaik untuk beberapa perlawanan awal. Hanya di penghujung kejohanan barulah mereka bermain dengan baik.

 "Persediaan mereka semakin mantap tapi Peng Soon-Liu Ying harus mempertingkatkan persembahan jika mahu meraih pingat di Sukan Asia.

 "Nasihat saya adalah untuk membina semula keyakinan dan cuba untuk bermain dengan baik di Terbuka Malaysia minggu depan," kata Eei Hui.

 Bekas gandingan utama negara itu terpaksa dipisahkan sementara tahun lalu untuk memberi laluan kepada Liu Ying menjalani pembedahan bahu dan proses pemulihan kecederaan.

 Mereka digandingkan semula awal tahun ini dengan pasangan berkenaan bermula cemerlang apabila meraih kejuaraan sulung musim ini di Thailand Masters.

 Gandingan berkenaan juga berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia bulan lalu namun di Terbuka Malaysia yang berlangsung di Arena Axiata (26 Jun hingga 1 Julai) mereka akan berdepan ujian sebenar untuk musim ini.

 Pasangan nombor 31 dunia itu akan berdepan Wang Chi Lin-Lee Chia Hsin dari Taiwan di pusingan pertama Terbuka Malaysia.

 Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing adalah dua lagi gandingan beregu campuran negara yang bakal beraksi di kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 8:15 PM