PEMAIN Uruguay, Luis Suarez ketika sesi latihan di Pusat Sukan Borsky di Nizhny Novgorod. FOTO AFP
Reuters

SELEPAS Uruguay mencatat kemenangan perlawanan pertama Piala Dunia hampir lebih separuh abad dan juga perlawanan pembukaan yang malang buat Arab Saudi, pasukan Amerika Selatan itu tidak mahu terlalu memandang mudah menjelang pertemuan kedua-dua mereka dalam saingan Kumpulan A, Rabu ini.

Meskipun kejayaan menewaskan Mesir 1-0 dengan gol pada akhir perlawanan berjaya menamatkan badi 48 tahun pasukan itu yang tewas dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia, Uruguay sudah kembali ke padang latihan bagi menguatkan lagi jentera taktikal pasukan itu di Nizhny Novgorod.

“Kami lihat penampilan sulung Arab Saudi. Ia adalah sukar bagi mereka,” kata pemain tengah Carlos Sanchez mengenai kekalahan mengejutkan Arab Saudi yang tewas 0-5 kepada tuan rumah, Russia.

“Tetapi Arab Saudi masih kuat. Kami tidak mahu berpuas hati dengan kemenangan sebelum ini. Kami berfikir mengenai diri sendiri, bagaimana mahu perbaiki diri. Anda memenangi perlawanan dengan hanya sedikit kelebihan,” kata Sanchez yang juga membantu melakukan hantaran silang kepada Jose Gimenez pada minit ke-89 bagi membantu gol kemenangan ketika perlawanan menentang Mesir pada Jumaat lalu.

Pemain pertahanan, Guillermo Varela, yang seperti Sanchez membuat penampilan sulung pada Piala Dunia bagi pasukan senior, bersetuju supaya Uruguay tidak terlalu sombong apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi kumpulan itu terutama sekali selepas pertemuan terakhir menentang tuan rumah.

“Russia mampu mengejutkan sesiapa. Tetapi kami hanya perlu memberi fokus terhadap Arab Saudi kini. Mereka juga bagus dan terpulang kepada kami untuk menyerang titik kelemahan mereka,” katanya.

Kelihatan lebih tenang pada sidang media, pemain Uruguay bagaimanapun tidak mahu memikirkan tentang penerbangan panjang dari Amerika Selatan dan sekitar Russia.

“Semua pasukan terpaksa melakukan penerbangan yang banyak. Anda hanya perlu berehat secukupnya dan bersedia bagi perlawanan seterusnya, semua akan menjadi baik,” kata Varela yang pasukannya terpaksa menempuh antara perjalanan terjauh untuk menyertai Piala Dunia.

Lagi berita Piala Dunia 2018

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 12:47 AM