PEMAIN Iran jalani latihan sebelum aksi bertemu Maghribi. -Foto EPA

SAINT PETERSBURG: Meskipun perlawanan persahabatan dibatalkan selain kekurangan but bola, ia sama sekali tidak melemahkan impian skuad Iran untuk bersaing di Piala Dunia, kata ketua jurulatih, Carlos Queiroz.

Iran akan membuka tirai perlawanan bertemu Maghribi esok di Saint Petersburg, yang dianggap Queiroz sebagai misi mesti menang kerana selepas itu mereka bakal bertemu gergasi Sepanyol dan Portugal dalam Kumpulan B.

Skuad bimbingan Queiroz melalui kempen kelayakan benua Asia tanpa merekodkan kekalahan sepanjang 18 perlawanan.

Bagaimanapun persediaan Iran ke Russia terganggu selepas perlawanan persahabatan dengan Greece dan Kosovo dibatalkan.

Awal minggu ini, Nike mengumumkan untuk menghentikan bekalan but kepada skuad Iran berikutan keputusan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap negara itu.

“Kami tidak pernah menggunakan permintaan maaf atau sebarang justifikasi. Kami menggunakan segala kesukaran sebagai inspirasi untuk meningkatkan motivasi ketika turun beraksi,” kata Queiroz.

Sehingga kini, Iran kekal pasukan bukan pilihan di dalam Kumpulan B, namun Queiroz gembira dengan status bukan pilihan. 

“Kami mengakui Mahgribi, Sepanyol dan Portugal adalah pasukan pilihan mengambil kira kepada sejarah, persediaan ke Piala Dunia, kematangan pemain selain mempunyai pemain yang beraksi bersama kelab ternama Eropah.

“Tapi kami menolak tanggapan bahawa kami tidak mampu untuk mencatatkan kemenangan. Tiada siapa yang dapat menafikan kemampuan kami,” katanya. – AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 11:31 PM