(Gambar fail) Shukor (dua kiri) semasa meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II baru-baru ini. FOTO Ghazali Kori
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my

FELDA United hanya memerlukan tiga kemenangan daripada baki lima perlawanan untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana musim ini, namun kaptennya Shukor Adan tidak mahu mereka terburu-buru untuk memenuhi hajat itu bagi mengelak tekanan.

Sebaliknya, Shukor meminta rakan sepasukan fokus perlawanan demi perlawanan sebagaimana dilakukan sepanjang musim ini kerana itulah kunci yang menjadikan mereka pasukan paling konsisten.

"Kami kini berada di landasan yang tepat untuk bergelar juara dengan hanya memerlukan sembilan mata daripada lima perlawanan.

"Kalau mampu mencapai kejuaraan itu lebih awal memang bagus tapi saya tidak mahu rakan sepasukan meletakkan tekanan ke atas diri sendiri semata-mata tidak sabar untuk muncul juara.

"Kami tidak perlu terburu-buru sehingga boleh menjejaskan prestasi serta persembahan kami. Seelok-eloknya, kami fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan kerana kaedah itu lebih selamat.

“Saya yakin jika kami dapat kekal fokus, kejayaan itu akan datang sendiri. Pada masa sama saya harap pemain tidak berasa selesa dengan kedudukan kami sehingga mengambil mudah perlawanan selepas ini,” katanya.

The Fighters kini selesa mengungguli carta liga dengan 36 mata, 13 mata di depan pasukan di tangga kedua, MIFA serta 14 mata meninggalkan FELCRA FC yang masih memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Skuad bimbingan B Sathianathan akan berdepan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada 27  Jun, disusuli  UKM FC (12 Julai), Sarawak (16 Julai), PDRM (19 Julai) dan Pulau Pinang (26 Julai).

“Kesemua perlawanan ini mencabar kerana pasukan seperti JDT II menunjukkan peningkatan mendadak pada pusingan kedua apatah lagi mereka dibenarkan menggunakan pemain daripada skuad utama. 

“Begitu juga UKM dan PDRM. Malah pasukan seperti Sarawak dan Pulau Pinang juga tidak boleh diambil mudah walaupun mereka menduduki kelompok bawahan liga.

“Jadi, walaupun hanya memerlukan tiga kemenangan untuk bergelar juara, ia bukan misi yang mudah, kami tetap perlu bekerja keras,” ujar pemain berpengalaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 5:07 PM