PEMAIN NS Angel Aldeguer Guirado (kiri) menanduk bola ke arah gol Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO/BERNAMA
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui terkilan selepas tiga mata terlepas daripada genggaman pasukan itu apabila seri dengan Negeri Sembilan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Selepas Gilmar Da Silva meletakkan The Bos Gaurus di depan menerusi jaringan pada minit ke-71, penyerang muda skuad Hobin Jang Hobin, N Thanabalan meledak gol penyamaan pada minit terakhir permainan.

“Saya macam tak percaya tiga mata yang sudah hampir dalam genggaman kami terlepas begitu saja, gara-gara kelekaan dan beberapa kesilapan kecil dilakukan pemain.

“Ia sepatutnya tidak menjadi masalah malam ini untuk kami mencatat kemenangan kerana kami ternyata dapat mengawal sejak mula dan berjaya memecah benteng lawan, malah turut berjaya mencipta banyak peluang menjaringkan gol.

“Kami hampir putus asa selepas usaha mendapatkan gol tidak menjadi dan terpaksa menunggu hingga ke minit ke-71, tapi sedikit kesilapan pada hujung permainan, kami terpaksa menerima hakikat gagal menang,” katanya.

Durakovic berkata, tentangan sengit Negeri Sembilan terutama pada separuh masa pertama menyukarkan skuad bimbingannya mendapatkan gol awal dan beliau turut memuji persembahan penjaga gol pasukan itu, Ilham Amirullah yang beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan bahaya jentera serangan Perak.

“Walaupun ada beberapa kesilapan kecil tapi saya puas hati dengan persembahan keseluruhan pemain dan mereka beraksi seperti yang dirancang, namun tidak menafikan kecekapan Ilham menyekat kami untuk mendapatkan gol lebih awal dan seterusnya mencipta kemenangan malam ini (malam tadi).”

Selepas 14 perlawanan, Perak kekal di tangga ketiga liga dengan 24 mata manakala Negeri Sembilan di tangga ke-11 dengan 12 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 12:14 PM