HAFIZH (tengah) ditawarkan kontrak lanjutan setahun bersama Tech3.
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


PRESTASI konsisten serta sikap positif penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sejak menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3 menyaksikan kontraknya dilanjutkan setahun oleh pasukan itu.

Tech3, hari ini mengesahkan mereka sudah menawarkan kontrak lanjutan selama setahun untuk Hafizh bersama pasukan itu yang menggunakan jentera KTM pada musim depan.

Prinsipal pasukan, Herve Poncharal berkata, dia sememangnya berhasrat untuk mengekalkan Hafizh bersama pasukan itu sejak hari pertama pelumba negara terbabit menyertai pasukannya.

“Sejak Hafizh menunggang jentera MotoGP kami, ia seperti mimpi pada setiap hari kerana dia amat pantas, jauh lebih pantas berbanding sesetengah pelumba yang kami fikirkan,” kata Poncharal.

“Kami amat berbangga dengan apa yang dia lakukan. Saya tahu ia adalah kejayaan yang besar untuk pelumba Malaysia pertama beraksi dalam kelas MotoGP. 

“Bagi perlumbaan pertamanya di MotoGP, dia mengutip mata dan sejak hari itu dia secara konsisten bersaing untuk merebut kedudukan selaku pelumba baharu terbaik.

“Selain itu, Hafizh mempunyai karakter yang amat istimewa. Dia adalah lelaki muda yang amat baik, amat berpelajaran, merendah diri, menghormati segala-galanya, selain berhasrat tinggi untuk mencapai yang terbaik.”

Hafizh berkata, dia hampir menitiskan air mata apabila mengetahui kontraknya bersama pasukan itu dilanjutkan.

“Saya begitu gembira untuk berpeluang kekal bersama pasukan Tech3 dan menyertai keluarga KTM, malah saya hampir menangis kegembiraan,” kata pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu.

“Terima kasih kepada semua orang terutama kepada Herve dan Datuk Razlan Razali (Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang) kerana sentiasa mempercayai saya.

“Saya akan bekerja keras pada 2019 dan akan membuat persediaan yang lebih baik kerana ia tidak begitu mengejutkan seperti musim ini. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada KTM kerana mempercayai Herve dan saya.”

Hafizh akan berlumba di samping rakan sepasukannya, Miguel Oliveira dari Portugal yang ketika ini berlumba di kancah Moto2 bersama pasukan Red Bull KTM Ajo. 

Rakan sepasukannya musim ini, Johann Zarco akan menyertai pasukan pengeluar KTM pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 5:49 PM