FLAVIO (kiri) tekad ledak lebih gol untuk NS. FOTO/FAIL
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

SELEPAS membantu Negeri Sembilan menewaskan PKNS FC, pemain tengah Flavio Beck Junior bertekad meledak lebih banyak gol bagi melonjak kelab dalam carta Liga Super.

Import 31 tahun Brazil itu mengakui sudah mula mendapat kembali rentak selepas ketua jurulatih, Mario Lemos mengendalikan pasukan bermula 11 Mei lalu.

“Dua gol yang saya jaringkan pada perlawanan menentang PKNS Ahad lalu menjadi pembakar semangat dan memberi keyakinan yang lebih untuk terus membantu pasukan,” kata Junior.

“Saya berharap dapat terus menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan akan datang khususnya ketika menentang Perak di laman sendiri malam esok.

“Namun saya yakin menerusi semangat sepasukan dan motivasi yang tinggi, impian kami itu dapat dilakukan, walaupun aksi selepas ini dijangka lebih getir.”

Setakat ini bekas pemain dua musim di Liga 1 Indonesia itu sudah mengumpul tiga gol bersama Negeri Sembilan.

Junior akui pendekatan dibawa Lemos bukan saja berjaya mengubah persembahan skuad Hobin Jang Hobin, tetapi juga menaikkan kembali semangat pasukan selepas dirundung prestasi hambar dari awal musim.

“Dia jurulatih muda tetapi hebat. Memberi latihan yang baik dan dapat meningkatkan motivasi kepada pemain serta saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 1:41 PM